Tuesday, October 17, 2017
vital-top
updated 7:20 AM UTC, Oct 17, 2017

Projek Tanaman Anggur Di Perlis Dikekalkan Untuk Dijadikan Tarikan Pelancong

Kangar - Projek tanaman anggur di Taman Anggur Sungai Batu Pahat, Bintong dikekalkan tetapi keluasannya akan dikurangkan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Ahmad Bakri Ali , pengurangan itu dibuat memandangkan kos penyelenggaraannya yang tinggi.

Daripada keseluruhan kawasan itu, 3.35 hektar dikekalkan dengan tanaman anggur manakala baki 4.75 hektar lagi dialihkan kepada projek tanaman mangga harum manis.

Menurut Ahmad Bakri, kerajaan negeri mengambil keputusan mengekalkan tanaman anggur berkenaan kerana kewujudannya selama ini berjaya menjadi antara tarikan pelancong.

Ahmad Bakri berkata pada 24 Sept tahun lepas kerajaan negeri telah memberi kelulusan kepada satu syarikat swasta mengambil alih pengurusan taman berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, pada 26 Dis 2014, syarikat itu memaklumkan mereka terpaksa menarik diri daripada projek itu kerana masalah mendapatkan tenaga kerja mahir.

Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri bersetuju supaya Jabatan Pertanian Negeri mengambil alih semula pengurusan Taman Anggur berkenaan bagi memastikan ianya dapat terus beroperasi.

Ahmad Bakri berkata sesuai dengan matlamat menjadikan taman berkenaan sebagai antara tarikan pelancong di negeri ini, beberapa pendekatan baharu akan dilakukan supaya ianya lebih menarik.

Antara pendekatan itu ialah memperkenalkan pelbagai jenis anggur baharu selain mempelbagaikan jenis tanaman seperti delima, avokado, aprikot dan zaitun supaya ia ada kelainan daripada taman anggur di negeri lain di negara ini.

  • Jumlah paparan: 1387