Tuesday, November 21, 2017
vital-top
updated 9:53 AM UTC, Nov 21, 2017

Adik Beradik Disyaki Curi Lori Ditahan

Bagan Serai - Dua adik beradik yang dipercayai anggota sindiket mencuri lori ditahan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang arah selatan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata mereka yang berumur 38 dan 41 tahun ditahan ketika berhenti di R&R berkenaan kira-kira pukul 3.30 pagi bersama lori yang dicuri di Simpang Lima.

Katanya bertindak hasil maklumat orang ramai, sepasukan anggota polis menyerbu kawasan itu dan menahan suspek bersama beberapa peralatan mencuri seperti spanar dan pemutar skru.

"Pemeriksaan lanjut mendapati nombor pendaftaran lori itu telah ditukar dengan nombor plat palsu," katanya beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian.

Omar Bakhtiar berkata siasatan polis mendapati kedua-dua suspek yang positif ujain dadah jenis amphetamine dibayar upah RM500 untuk mencuri lori itu.

Kedua-dua suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan polis kini giat menjejak ketua sindiket curi lori itu.

Tambah Omar Bakhtiar, pada 2014 sebanyak enam kes curi lori dilaporkan di daerah itu manakala tahun lalu hanya satu kes.

  • Jumlah paparan: 251