Monday, June 18, 2018
vital-top
updated 3:04 PM UTC, Jun 18, 2018

KPDNKK Berjumpa Peniaga, NGO, Pengguna Mengenai Kos Sara Hidup Minggu Depan

Putrajaya - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengadakan perjumpaan dengan persatuan peniaga, badan bukan kerajaan (NGO) dan pengguna pada minggu depan berhubung kos sara hidup dan hal kepenggunaan.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata beliau mahu mendengar keluhan daripada wakil-wakil pengguna serta pandangan NGO dan peniaga mengenai harga barang dan kos sara hidup pada pertemuan dengan kumpulan tersebut.

Beliau juga berkata pandangan dan cadangan pihak-pihak berkepentingan sedemikian diperlukan untuk dikemukakan pada mesyuarat jawatankuasa peringkat tertinggi mengenai isu kos sara hidup yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata mesyuarat jawatankuasa peringkat tertinggi itu yang dijadualkan pada 18 Jan bagaimanapun dipercepatkan ke Jumaat ini.

"Kita akan mengumpulkan luahan dan cadangan yang dikemukakan oleh pengguna, NGO dan persatuan melalui memorandum secara berasingan untuk mesyuarat (Jumaat) ini, memandangkan kesuntukan masa," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementeriannya di sini.

Hamzah dalam pada itu turut meminta 30 juta pengguna di negara ini untuk menjadi rakan KPDNKK, bukan sahaja hanya membuat laporan tetapi juga memberi idea baru dan pandangan menangani hal-hal kepenggunaan.

"Cabaran terbesar yang perlu ditangani oleh warga KPDNKK ialah persepsi negatif masyarakat terutama di media sosial," katanya, sambil menambah KPDNKK berazam menjadi johan dalam menangani masalah rakyat berhubung isu kepenggunaan.

Hamzah berkata beliau juga akan berjumpa dengan peniaga-peniaga telefon bimbit bagi mengeluarkan senarai harga dan standard telefon bimbit supaya pengguna tidak tertipu.

  • Ditulis oleh BeritaRTM
  • Kategori: Nasional
  • Jumlah paparan: 264