Wednesday, 23 September 2020

updated 12:40 PM UTC, Sep 23, 2020

JPJ Negeri Sembilan Keluar 57 Saman Pandu Di Lorong Kecemasan

Seremban - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mengeluarkan 57 saman ke atas pemandu yang memandu di lorong kecemasan di lebuh raya sepanjang tempoh pelaksanaan Op Hari Raya Aidilfitri 2016 yang bermula 29 Jun dan berakhir semalam.
   
Pengarah JPJ negeri Azrin Borhan berkata kesemua kesalahan tersebut dikesan oleh anggota JPJ yang melakukan penyamaran bergambar di beberapa lokasi terpilih.
   
Beliau berkata aduan bergambar dan video yang dihantar oleh orang awam kepada JPJ, berkaitan kesalahan jalan raya yang majoritinya membabitkan kesalahan memandu di lorong kecemasan, sedang dalam proses kemas kini.
   
Selain 74 anggota JPJ, seramai 68 anggota polis, 24 anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan negeri, 18 anggota Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan dan lima anggota Jabatan Alam Sekitar negeri turut menyertai operasi tersebut yang diadakan semalam selama empat jam bermula pukul 8 malam.
   
Sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri 2016, pihak JPJ telah memeriksa 2,768 kenderaan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 1,615 kenderaan diambil tindakan dan sejumlah 1,489 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
   
Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Sembilan, Supt Md Dali Wahid berkata pihak polis mengeluarkan 59 saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu dengan JPJ malam tadi.
   
Walaubagaimanapun, Md Dali berkata jumlah saman yang dikeluarkan sepanjang Op Selamat 9 meningkat kepada 7,540 saman berbanding 3,785 saman tahun lepas.

  • Ditulis oleh BeritaRTM
  • Kategori: Nasional
  • Jumlah paparan: 329