Thursday, June 21, 2018
vital-top
updated 12:10 PM UTC, Jun 21, 2018

KKM Lancar Operasi Penguatkuasaan Pembiakan Aedes Di Seluruh Negara

 

Kuala Lumpur  - Sejumlah 12,110 premis telah diperiksa dan 39 kompaun berjumlah RM19,500 dikeluarkan hasil operasi penguatkuasaan pembiakan nyamuk Aedes di seluruh negara yang bermula semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam dalam satu kenyataan di laman Facebooknya berkata kesemua premis yang didapati membiak Aedes dikenakan kompaun maksimum RM500 bagi setiap kompaun dalam operasi yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan selama dua bulan itu.

"KKM juga menjalankan aktiviti penguatkuasaan di tapak binaan kerana didapati kadar pembiakan Aedes masih tinggi iaitu 31.8 peratus, melebihi sasaran satu peratus yang ditetapkan.

"Perintah penutupan (oleh) mahkamah selama dua minggu akan dikenakan kepada tapak binaan yang didapati membiak Aedes selain tindakan didakwa di mahkamah bagi kesalahan berulang," kata kenyataan itu.

Sejumlah 324 lokaliti terlibat dalam operasi itu iaitu 109 di Kelantan, 62 di Selangor, 51 di Kedah, 35 di Terengganu, 18 di Johor, 10 di Negeri Sembilan, tujuh di Sarawak, enam di Perak, enam di Pahang, lima di Perlis, lima di Kuala Lumpur dan Putrajaya, empat di Sabah, masing-masing dua di Pulau Pinang, Melaka dan Labuan.

Pemantauan KKM juga mendapati jumlah kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan di seluruh negara dari Januari hingga 9 April tahun ini adalah 39,221 kes, meningkat sebanyak 9.9 peratus atau 3,520 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas iaitu 35,701 kes.

  • Ditulis oleh BeritaRTM
  • Kategori: Nasional
  • Jumlah paparan: 71