Monday, August 26, 2019
updated 4:59 AM UTC, Aug 26, 2019

Remaja Perempuan 'Diculik' Dan Teman Lelaki Dihadapkan Ke Mahkamah

Klang -  Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang mendakwa dirinya diculik dan pemuda dipercayai teman lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret, masing-masing bagi pertuduhan memberi maklumat palsu dan melarikan remaja bawah umur.

Remaja perempuan itu yang mencetuskan kontroversi dengan mereka cerita kononnya dia telah diculik di Bandar Sultan Suleiman minggu lepas, mengaku bersalah memberi maklumat palsu berhubung kehilangannya selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Asma Ahmad.

Tertuduh yang memakai baju hospital berwarna hijau didakwa mengikut Seksyen 196 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menggunakan keterangan diculik sebagai keterangan yang benar sedangkan ia adalah palsu.

Perbuatan itu dilakukan di Bandar Sultan Suleiman di sini kira-kira pukul 9.12 pagi, 29 Dis lepas.

Remaja berkenaan yang ketika itu disyaki diculik, telah dijumpai polis di dalam sebuah kereta bersama-sama seorang lelaki dipercayai teman lelakinya di hadapan sebuah stesen minyak di Banting dekat sini, kira-kira pukul 7.45 malam dua hari kemudian.

Terdahulu, pemuda berumur 19 tahun, yang dipercayai teman lelaki remaja perempuan itu, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan melarikan remaja bawah umur tanpa keizinan yang sah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan juga boleh didenda jika sabit kesalahan.

  • Ditulis oleh BeritaRTM
  • Kategori: Nasional
  • Jumlah paparan: 273