Sunday, February 25, 2018
vital-top
updated 3:08 PM UTC, Feb 24, 2018

Individu Cuba Samun Kedai Pengurup Wang Cedera Ditembak

Petaling Jaya - Seorang suspek yang cuba menyamun premis pengurup wang cedera ditembak pengawal keselamatan premis itu selepas dia bertindak menyerang pengawal berkenaan menggunakan parang.

Dalam kejadian 2 petang tadi itu, suspek berusia 20-an cedera di kaki kiri selepas terkena tembakan senapang patah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata suspek terbabit bersama dua lagi lelaki yang memakai topi keledar dan bersenjatakan parang masuk ke premis itu di Dataran Mentari.

Ketika kejadian terdapat enam pekerja dalam premis tersebut tanpa sebarang pelanggan.

Beliau berkata suspek dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan.

"Dua lagi rakan suspek bertindak melarikan diri dengan menaiki motosikal. Polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup di premis itu bagi mengenal pasti suspek terbabit," kata Mohd Zani.

Beliau berkata kes disiasat kerana cubaan samun yang boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu seorang saksi yang ingin dikenali sebagai Ahmad, 30-an, berkata beliau baru pulang dari menunaikan solat Jumaat terkejut apabila melihat seorang lelaki yang memakai topi keledar terbaring di hadapan premis itu.

"Lelaki yang terkena tembakan tersebut tidak dapat bergerak akibat kecederaannya dan ditahan oleh polis sebelum dibawa oleh ambulans ke hospital, " katanya.

  • Ditulis oleh BeritaRTM
  • Kategori: Nasional
  • Jumlah paparan: 403