Wednesday, April 25, 2018
vital-top
updated 1:55 PM UTC, Apr 25, 2018

Anggota Polis Cedera Penagih Simbah Asid

Kemaman - Seorang anggota polis cedera selepas disimbah asid ketika menyerbu rumah penagih di Kemasik di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Mohd Said Ibrahim berkata kejadian berlaku kira-kira 2.10 pagi ketika Lans Koperal Mohd Haikal Zaharudin, 27, bersama tujuh anggota yang lain menyerbu rumah tersebut.

"Ketika melarikan diri, suspek menyimbah botol yang berisi cecair yang terkena anggota Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman itu.

"Namun suspek yang berusia 27 tahun itu dapat diberkas," katanya.

Beliau berkata turut ditemui beberapa pil dan ketulan yang dipercayai dadah jenis pil WY, ais dan heroin pada suspek yang bernilai kira-kira RM1,300.

"Anggota tersebut cedera dengan kesan terbakar di telinga, tangan kiri dan kanan dan dikejarkan ke Hospital Kemaman sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Beliau kini dilapor stabil," katanya.

Mohd Said berkata dua lagi adik suspek yang berusia 22 dan 24 tahun yang dipercayai turut terbabit dalam kegiatan itu berjaya meloloskan diri.

Namun pihak polis mengenali adik-adik suspek, tambahnya.

Suspek yang tidak mempuyai pekerjaan turut mempunyai enam rekod lampau bersabit dadah, pecah rumah serta curi motosikal.

  • Ditulis oleh BeritaRTM
  • Kategori: Nasional
  • Jumlah paparan: 176