Monday, March 18, 2019
vital-top
updated 2:06 PM UTC, Mar 18, 2019

32 Penduduk Kampung Pulau Seratus Terima Sumbangan Kemudi Dan KSK PKINK

  • Published in Nasional

Tumpat - Sejumlah 32 penduduk Kampung Pulau Seratus menerima sumbangan berupa makanan, barangan keperluan harian serta wang zakat daripada Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) dan Kelab Sukan dan Kebajikan  Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (KSK PKINK) di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif I PKINK Mazli Zakuan Mohd Noor berkata barangan itu disumbangkan menerusi tabung Kelab Sukan dan Kebajikan di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai salah satu langkah merapatkan  hubungan antara penduduk dan agensi berkenaan.

"Program ini penting supaya kami dapat kembali kepada masyarakat dan berharap agar timbul kesedaran dalam kakitangan PKINK sebagai sebuah agensi pembangunan ekonomi negeri.

Ia juga merupakan salah satu langkah agensi bagi mengenal pasti sumber semulajadi yang berpotensi untuk dibangunkan pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penghayatan Ramadan Bersama Penduduk Kampung Pulau Seratus di Surau Al Hidayah kampung itu yang turut dihadiri Presiden Kemudi Mohd Zailani Abdul Rahman di sini, malam tadi.

Mazli Zakuan berkata ia merupakan program CSR kedua agensi itu di kampong tersebut selepas program pertama pada Mei lepas.

"Kita akan datang lagi ke sini pada masa depan dengan harapan dapat membantu meningkatkan taraf hidup penduduk dan ia bukannya program 'sekali sahaja'...kita mahu kampung ini menunjukkan hasil yang lebih positif," katanya.

Sementara Mohd Zailani berkata ia merupakan program tahunan Kemudi pada Ramadan yang memberi fokus kepada aktiviti berbentuk kemasyarakatan.

"Ia merupakan tahun ketiga kami melaksanakan aktiviti bersama penduduk. Tahun sebelumnya, kami telah melaksanakan aktiviti serupa di Kampung Biak, Kuala Krai dan Kampung Lemal, Pasir Mas.

"Program sebegini amat penting bagi menjalin hubungan dengan masyarakat di sesuatu kawasan kerana sebagai pengamal media, kami juga memerlukan sokongan daripada komuniti di sesuatu tempat," katanya.