Tuesday, 18 January 2022

updated 4:18 AM UTC, Jan 18, 2022

'Pay & Win with DD', kempen hargai pembayar PTPTN

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 3 Disember - Bagi menghargai peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang komited membayar balik pinjaman secara konsisten, sebuah Kempen Pay & Win with DD (DirectDebit) dianjurkan.

Ia kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), PTPTN dan Payments Network Sdn. Bhd. (PayNet) bagi menyambut baik langkah kerajaan dalam pembentangan Bajet 2022 yang memberi insentif diskaun sebanyak 10 peratus kepada peminjam PTPTN.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB, Mohd Muazzam Mohamed, kempen menawarkan hadiah wang tunai berbentuk bayaran balik atau simpanan akaun Simpan SSPN Prime melalui cabutan pemenang.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Pelancaran Kempen Pay & Win With DD (Direct Debit).

Hadiah yang dimenangi akan dikreditkan ke dalam akaun pinjaman pemenang sebagai sebahagian daripada bayaran balik pinjaman pendidikan PTPTN.

Sekiranya jumlah baki pinjaman pemenang kurang daripada nilai hadiah yang dimenangi, nilai lebihan daripada hadiah tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun Simpan SSPN Prime mereka sebagai simpanan.