Thursday, 2 December 2021

updated 1:52 PM UTC, Dec 2, 2021

VTL-Land Malaysia-Singapura bermula Isnin ini

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 24 November - Perjalanan Lengkap Vaksin-Laluan Darat (VTL-Land) antara Malaysia dan Singapura akan bermula Isnin ini, serentak pelaksanaan VTL-Air yang diumumkan sebelum ini.

Ia dilaksana bagi melancarkan pergerakan rentas sempadan tanpa kuarantin.

Dengan kuota harian tidak lebih 1,500 pengembara buat permulaan, VTL-Land hanya melibatkan penggunaan perkhidmatan bas.

Bagi kategori pengangkutan lain, ia bakal disenarai secara berperingkat.

Jelas Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan, VTL-Land bertujuan mengintegrasikan protokol kesihatan, keselamatan dan kelulusan imigresen.

Pengembara yang dibenar melakukan VTL-Land meliputi rakyat Malaysia dan Singapura, termasuk Penduduk Tetap dan pemegang Pas Jangka Panjang.

Individu terlibat wajib lengkap divaksin dan bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang tidak divaksinasi, mereka harus ditemani ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap divaksin.

Pengembara juga wajib membuat pendaftaran di laman sesawang seperti tertera sebelum membuat sebarang pembelian tiket.

Bagaimanapun, pengembara yang layak tertakluk kepada ujian COVID-19 dan keperluan kesihatan terperinci yang ditentukan negara masing-masing.

Kadar vaksinasi populasi kedua-dua negara yang melebihi 95 peratus membolehkan sempadan darat dibuka semula secara berperingkat, selamat, sistematik dan mampan.