Thursday, 2 December 2021

updated 1:52 PM UTC, Dec 2, 2021

Tokoh Perdana Maulidur Rasul Kebangsaan dianugerahkan kepada Datuk Dr. Suhaini Kadiman

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 20 Oktober - Ketua Jabatan Anestesiologi dan Unit Rawatan Rapi Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Suhaini Kadiman dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1443H/2021M.

Anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu menerima hadiah wang tunai, trofi dan sijil penghargaan.

Anugerah disampaikan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam majlis ringkas di istana negara hari ini.

Turut hadir, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad.

Sementara itu, enam lagi individu turut dipilih sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun ini.

Mereka ialah mantan pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul AIUM, Datin Dr Paizah Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah, Syeikh Zakaria Othman, Ketua Pegawai Eksekutif HIKMAH Sarawak, Alwi Morshidi, Pengasas Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd, Ali Hassan Mohd Hassan, Pengasas Pondok OKU Muslim, Mohd Zaini Mat Abas dan Mantan penyelia KAFA Tawau Sabah, Mohd Amin Nasir.

Kesemua mereka menerima hadiah wang tunai, trofi dan sijil penghargaan.

Penganugerahan itu berdasarkan sumbangan besar individu terbabit dalam memartabatkan syiar Islam di peringkat kebangsaan dan global yang diiktiraf oleh pelbagai pihak.