Saturday, 4 December 2021

updated 5:48 AM UTC, Dec 4, 2021

Tinjauan udara aliran trafik masuk ke ibu negara hari ini lancar susulan pergerakan rentas negeri

  • Published in Nasional

SUBANG, 17 Oktober - Aliran trafik memasuki ibu negara hari ini lancar susulan pergerakan rentas negeri mula dibenarkan Isnin lalu.

Cuti hujung minggu termasuk cuti umum Maulidur Rasul, Selasa ini, menyaksikan masih ramai yang bercuti panjang sama ada pulang ke kampung atau menuju destinasi pelancongan.

Wartawan Michelle Wang, berkesempatan mengikuti tinjauan udara yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Pasukan Gerakan Udara di Lebuhraya Utara Selatan (Plus), siang tadi.

Tinjauan menggunakan helikopter jenis Agusta Westland AW139 berlepas dari Pangkalan Udara Subang bermula pukul 10.00 pagi tadi.

Pemerhatian menyaksikan aliran trafik lancar di laluan kedua-dua arah dari ibu negara ke Ipoh dan sebaliknya.

Helikopter dikendalikan juruterbang PDRM, Superintendan Thiyagarajan Mariappan, meninjau aliran trafik semasa bagi membolehkan PDRM membuat perancangan kawalan lebih efisien.

Syarikat konsesi lebuh raya menjangkakan, jumlah kenderaan menggunakan Lebuhraya PLUS meningkat kepada empat juta kenderaan sehari.