Saturday, 4 December 2021

updated 5:48 AM UTC, Dec 4, 2021

Sekolah dibuka di negeri Fasa 3 dan 4 PPN, bermula 31 Oktober dan 1 November ini

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 17 Oktober - Pengoperasian institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) mengikut ketetapan Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Melaka, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan berkuat kuasa mulai 1 November ini.

Manakala Kedah dan Kelantan yang mengikut ketetapan Fasa Tiga PPN akan bermula 31 Oktober ini, sementara Pulau Pinang, Perak dan Sabah pada 1 November.

KPM dalam kenyataan memaklumkan perubahan ketetapan pengoperasian itu selaras peralihan Fasa Tiga kepada Fasa Empat PPN bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor dan Melaka serta Fasa Dua kepada Fasa Tiga PPN bagi Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah yang semuanya berkuat kuasa esok.

Kenyataan menjelaskan Negeri yang beralih ke Fasa Empat PPN akan melibatkan kemasukan murid Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) sekolah rendah serta murid Tingkatan 3 dan Tingkatan 4 di sekolah menengah pada 1 November.

Sementara kehadiran murid Tahap 2 (Tahun 4, 5 dan 6) sekolah rendah serta kelas peralihan, Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 sekolah menengah pada 8 November, seminggu selepas negeri terlibat memulakan pengoperasian berdasarkan ketetapan Fasa 4 PPN.

Bagi negeri Fasa Tiga PPN akan melibatkan kehadiran murid prasekolah, murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional dan Program Pendidikan Khas Integrasi.

Kehadiran turut melibatkan pelajar Tingkatan 6 Semester 2, Prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya/sekolah harian/sekolah swasta, International Baccalaureate Diploma serta kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) serta kelas peperiksaan antarabangsa lain.