Tuesday, 26 October 2021

updated 12:33 PM UTC, Oct 26, 2021

Jawatankuasa khas diwujudkan siasat kes kematian Adib

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Satu jawatankuasa khas diwujudkan bagi memastikan siasatan menyeluruh dan telus dilakukan terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Jawatankuasa khas itu diberi tempoh 6 bulan untuk menjalankan siasatan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat kabinet semalam.

Datuk Seri Ismail Sabri memaklumkan, jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ia turut dianggotai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun.

Beliau menerusi kenyataan berkata, ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kes kematian Allahyarham Adib yang juga anggota unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mendapat keadilan, sekali gus pelaku kematian Adib dihadapkan ke muka pengadilan.

Sementera itu, bapa Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid menzahirkan kesyukuran dan akui ia memberi sinar baharu kepada keluarganya untuk mendapatkan pembelaan atas kematian anaknya.

Malah keputusan kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh dan telus berhubung kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim adalah berita gembira yang dinanti-nantikan seluruh rakyat Malaysia.

Jelasnya pembentukan jawatankuasa itu membuktikan kerajaan mengambil berat akan isu ini dan berharap siasatan dapat dilaksana dengan bersungguh-sungguh.

Beliau berharap agar semua yang terlibat dalam jawatankuasa khas berkenaan melunaskan tanggungjawab bersungguh-sungguh.

Mohd Kassim berkata penubuhan jawatankuasa khas tersebut sememangnya amat dinantikan dan semestinya memberi sedikit kelegaan kepada keluarganya yang sentiasa merindukan arwah Muhammad Adib.