Monday, 18 October 2021

updated 4:33 AM UTC, Oct 18, 2021

Prasarana berjaya laksana 5 langkah jangka pendek penambahbaikan operasi LRT

  • Published in Nasional

PETALING JAYA, 24 September - Lima daripada 23 langkah jangka pendek berjaya dilaksanakan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam tempoh tiga bulan bagi menambah baik operasi susulan insiden pelanggaran tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya pada 24 Mei lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, langkah itu antaranya ialah menetapkan dua pemandu bagi mengendalikan tren secara manual.

Menurut Datuk Seri Dr. Wee, setiap pemandu kini dibekalkan lampu suluh berkuasa tinggi dan senarai semak turut disediakan di pusat kawalan operasi sebagai panduan dalam mengendalikan tren secara manual ketika berdepan situasi kritikal.

Beliau juga berpuas hati terhadap prestasi Prasarana dalam melaksanakan langkah penambahbaikan tambahan bagi memastikan keselamatan perkhidmatannya.

Beliau menjelaskan perkara itu selepas mengunjungi Kompleks Rapid Rail Subang.

Mengenai tujuh langkah jangka panjang pula, Datuk Seri Dr. Wee berkata, Prasarana akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan dan pihak berkuasa berkaitan bagi melaksanakannya secara progresif.