Monday, 18 October 2021

updated 4:33 AM UTC, Oct 18, 2021

Tanah runtuh Kemensah Heights, penduduk terjejas tidak sabar untuk kembali ke rumah masing-masing

  • Published in Nasional

AMPANG, 23 September - Penduduk yang terjejas dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, Jumaat lepas berharap kerja-kerja penstabilan cerun dan memperbaiki aliran Sungai Kemensah dapat dilaksanakan dengan kadar segera bagi mengelakkan kejadian sama berulang terutamanya apabila tiba musim hujan.

Seorang penduduk, Razni Samsuddin, berkata selain melaksanakan kerja-kerja penstabilan cerun agar mereka yang terjejas dapat kembali ke rumah masing-masing dengan selamat, pihak bertanggungjawab juga perlu melakukan kajian teknikal mengenai pergerakan tanah di kawasan itu.

Penambahan tembok penahan juga perlu dilakukan agar kejadian tanah runtuh tidak berulang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata kawalan keselamatan 24 jam telah ditetapkan di laluan keluar masuk di Jalan Tujuh dan Kemensah Indah.

Ketika ini, kerja-kerja pembersihan dan penstabilan cerun sedang giat dijalankan oleh Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Selangor.