Monday, 18 October 2021

updated 4:33 AM UTC, Oct 18, 2021

Kos projek penstabilan cerun, naik taraf Sungai Kemensah dianggar RM10 juta

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 20 September - Pelan kerja berkaitan penstabilan cerun dan menaik taraf Sungai Kemensah dengan anggaran kos RM10 juta akan dimuktamadkan Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS).

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ia bertujuan mengatasi beberapa isu.

Ini termasuk masalah sungai yang tertimbus dan aliran air sungai yang terhalang dari segi jangka panjang susulan kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, Jumaat lalu.

Pemeriksaan agensi di bawah kementeriannya juga mendapati pergerakan tanah daripada runtuhan itu menyebabkan masalah di sungai itu.

Projek akan dilaksana selepas mendapat input daripada pelbagai agensi.

Ia termasuk Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

Pelan kerja dijangka dapat disiapkan dalam tempoh sebulan untuk tindakan susulan dari segi pembiayaan dan perolehan.

Sebagai penyelesaian jangka pendek, pihak JPS telah membaik pulih aliran dan tebing sungai sepanjang 250 meter bagi mengurangkan risiko pergerakan tanah ke atas lot-lot unit kediaman di kawasan bersebelahan.