Thursday, 23 September 2021

updated 1:42 PM UTC, Sep 23, 2021

Tan Sri Noh, Datuk Mohamad angkat sumpah menteri, timbalan menteri

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 11 September - Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dan Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin masing-masing mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara petang tadi.

Turut berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Istiadat yang berlangsung di Singgahsana Kecil kira-kira pukul 2.35 petang itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Masing-masing melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia serta menandatangani dokumen rasmi pelantikan disaksikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Tan Sri Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang tidak dapat mengangkat sumpah pada 30 Ogos lalu kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19.

Manakala Datuk Mohamad, Ahli Parlimen Kimanis pula disahkan positif COVID-19.

Dengan istiadat tersebut maka lengkaplah pembentukan kabinet di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail yang terdiri daripada 31 menteri termasuk empat menteri kanan dan 38 timbalan menteri.