Logo

Hari Pahlawan: Agong, Permaisuri zahir ucapan dan penghargaan

KUALA LUMPUR, 31 Julai - "Sesungguhnya jerih perih para pejuang tanah air seketika dahulu dan masa kini adalah demi negara Malaysia yang berdaulat."

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh keluarga para pahlawan dan perwira yang terkorban semasa bertugas dan melindungi kedaulatan serta keselamatan negara.

Seri Paduka Baginda berdua bertitah menzahirkan ucapan selamat Hari Pahlawan kepada seluruh warga ATM dan PDRM.

Istana Negara menerusi laman Facebook rasmi memaklumkan, Seri Paduka Berdua turut menzahirkan penghargaan kepada para perwira ATM dan PDRM khususnya yang bertugas di barisan hadapan atas pengorbanan tanpa mengira masa serta penat lelah dalam membantu memerangi penularan wabak COVID-19.

Al-Sultan Abdullah bertitah, selaku Ketua Utama Negara dan pemerintah tertinggi ATM, Seri Paduka amat menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas jasa, khidmat bakti dan pergorbanan yang dicurahkan pahlawan dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan tanah air tercinta.

Seri Paduka Baginda Berdua turut mendoakan para pejuang yang terkorban semoga roh mereka dicucuri rahmat.

Tarikh 31 Julai setiap tahun diisytihar sebagai Hari Pahlawan sempena tamatnya darurat menentang komunis pada 1960.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.