Friday, 24 September 2021

updated 1:06 PM UTC, Sep 24, 2021

JAWI benarkan akad nikah di masjid bermula 1 Ogos 2021

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 30 Julai - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menetapkan pelaksanaan akad nikah di Wilayah Persekutuan akan diperluaskan ke 12 masjid terpilih bermula 1 Ogos ini.

JAWI dalam satu kenyataan menetapkan kebenaran majlis akad nikah hanya diberikan kepada pasangan telah mendapat kebenaran berkahwin sahaja.

Majlis itu akan diperluaskan ke lapan buah masjid di Kuala Lumpur, tiga buah masjid di Putrajaya dan sebuah di Labuan.

Pasangan terlibat dikehendaki membuat janji temu terlebih dahulu bagi tujuan mendapatkan tarikh dan waktu akad nikah.

Kehadiran adalah terhad kepada tiga orang, melibatkan pengantin lelaki, pengantin perempuan dan wali yang telah menjalani ujian calitan COVID-19.

Manakala kehadiran jurunikah dan dua orang saksi adalah daripada pihak JAWI dan masjid berkenaan.

Dalam masa sama, kebenaran berkahwin yang telah tamat tempoh juga dilanjutkan dua bulan lagi dan perlu mengemukakan semula permohonan penyambungan tempoh sah berkenaan.