Friday, 24 September 2021

updated 12:45 PM UTC, Sep 24, 2021

Pembatalan semua Ordinan Darurat perlu dibentang dan dibahas di Parlimen - YDP Agong

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 29 Julai - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas pelaksanaan persidangan Parlimen yang bermula Isnin lalu.

Seri Paduka bagaimanapun menegaskan, permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen.

Kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara.

Malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menerusi kenyataan media Istana Negara, Al Sultan Abdullah turut menegaskan, apa yang telah diperkenan dan dipersetujui dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai supaya cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan, tidak dilaksanakan.

Justeru, Seri Paduka menitahkan supaya Ahli-Ahli Parlimen memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara untuk mencari penyelesaian terhadap pelbagai masalah yang dihadapi ketika pandemik COVID-19 ini.

Sekali gus, mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan.

Al-Sultan Abdullah seterusnya menyeru rakyat mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah, dijauhi dari sebarang musibah, dan COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.