Thursday, 15 April 2021

updated 7:14 AM UTC, Apr 15, 2021

Jemputan Raja Salman penghormatan peranan besar Malaysia dalam pembangunan Asia Tenggara dan negara Islam

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 6 Mac - Menjadi ketua kerajaan pertama dijemput Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud ke Arab Saudi merupakan satu penghormatan besar diterima Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh rakyat Malaysia.

Pakar Geostrategi, Azmi Hassan berpandangan, jemputan Penjaga Dua Masjid Suci itu juga mencerminkan kepercayaan Riyadh kepada kebolehan Kuala Lumpur untuk memainkan peranan besar dalam pembangunan Asia Tenggara dan negara-negara Islam.

Selain Arab Saudi, Perdana Menteri juga bakal mengadakan lawatan rasmi ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Pertemuan Tan Sri Muhyiddin bersama dua pemimpin penting di rantau Asia Barat itu bakal mencetuskan prospek masa depan lebih besar hubungan diplomatik dan perdagangan ketiga-tiga negara.

Mengulas penubuhan Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi (HLSC) di peringkat Menteri Luar, beliau berkata, usaha tersebut berupaya memastikan hala tuju pembangunan dapat diselaraskan dan dilaksana dengan sistematik.

HLSC akan membuka ruang kepada rundingan antara Kuala Lumpur-Riyadh dalam pelbagai bidang antaranya isu politik, keselamatan antarabangsa, pemulihan ekonomi pasca COVID-19 serta urusan haji dan umrah.

Malaysia dan UAE pula akan membincangkan penubuhan Gabungan Keselamatan Makanan Antarabangsa selain pengukuhan kerjasama industri minyak dan gas.