Monday, 8 March 2021

updated 5:21 AM UTC, Mar 8, 2021

'PICK' bermula Rabu ini sasar 80% penduduk dewasa Malaysia terima vaksin menjelang Februari 2022

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 22 Februari - Bertema 'Lindung Diri, Lindung Semua', fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan atau singkatannya 'PICK' akan bermula Rabu ini melibatkan seramai 571,802 petugas barisan hadapan.

'PICK' disifatkan sebagai program vaksinasi terbesar dalam sejarah negara ke arah mencapai matlamat memastikan 80% daripada keseluruhan populasi mendapat vaksin demi mencapai imuniti kelompok.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim mahu orang ramai mengambil peranan mendaftar menjadi penerima vaksin secara sukarela demi kesejahteraan diri dan orang sekeliling.

Dalam pada itu beliau turut menegaskan penerimaan vaksin bukannya tiket untuk mengabaikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Ini kerana kesan optimum hanya dapat dilihat apabila ketiga-tiga fasa program vaksinasi selesai.

Orang ramai diminta melayari laman vaksincovid.gov.my untuk sebarang maklumat terkini berkenaan program 'PICK' atau ikuti Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) menerusi laman sosial Facebook, Twitter dan Instagram.

Beliau menjelaskan perkara tersebut menerusi temubual eksklusif bersama RTM.