Monday, 8 March 2021

updated 5:21 AM UTC, Mar 8, 2021

PM tinjau kesiapsiagaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan

  • Published in Nasional

PUTRAJAYA, 22 Februari - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan lawatan ke Institut Kanser Negara (IKN) bagi meninjau kesiapsiagaan fasiliti berkenaan untuk melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa pertama yang bermula Rabu ini.

Beliau yang tiba pada pukul 6.10 petang diiringi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Tan Sri Muhyiddin turut diberi taklimat ringkas oleh Pengarah IKN, Dr Mohd. Anis Harun sebelum dibawa ke bilik simpanan vaksin COVID-19 dan ke tempat pemberian vaksin.

Secara keseluruhannya, terdapat 54 lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan 605 lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

IKN merupakan satu daripada 54 PSV tersebut dan berperanan membekalkan vaksin secara berjadual kepada empat PPV di Putrajaya yang dikenal pasti.

Vaksin yang diterima oleh institut ini adalah untuk kegunaan dalam fasa pertama pelaksanaan melibatkan seramai 7,020 orang termasuk anggota kesihatan dan bukan kesihatan.

Bagi tujuan pembekalan ke PPV, vaksin akan dipindahkan ke kotak sejuk dengan suhu simpanan dua hingga lapan darjah celcius dan dimasukkan ke dalam peti sejuk muatan atas dengan suhu penyimpanan yang sama setelah tiba di PPV.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bakal dilaksanakan dalam tiga fasa yang dimulakan dengan Kumpulan Barisan Hadapan dan akan diikuti dengan Kumpulan Berisiko Tinggi serta penduduk negara ini berusia 18 tahun ke atas.