Saturday, 6 March 2021

updated 2:25 PM UTC, Mar 6, 2021

3,739 pekerja asing dikesan positif COVID-19, 186,690 lagi negatif

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 22 Januari - 3,739 pekerja warga asing disahkan positif COVID-19 manakala 186,690 lagi negatif.

Kesemua mereka merupakan 190,429 pekerja warga asing yang telah menjalani ujian saringan COVID-19 melibatkan 7,198 majikan.

Kenyataan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan telah mengarahkan semua pekerja warga asing khususnya di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan menjalani ujian saringan COVID-19.

Sehingga kini, 852 klinik telah terlibat dengan program saringan ini dan kos ujian saringan ditanggung oleh majikan masing-masing.

Kenyataan sama turut memaklumkan 660 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).

621 individu dikompaun manakala 39 yang lain direman.

Kesalahan direkodkan masing-masing tidak memakai pelitup muka (228), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (121), tiada penjarakan fizikal (96), rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (54), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (63) dan lain-lain (98).