Pesakit COVID-19 tahap 1 dan 2 jalani kuarantin di rumah
- Ditulis oleh Media Baharu
- Published in Nasional
PUTRAJAYA, 12 Jan - Berkuatkuasa 1 Januari lepas, pesakit COVID-19 tahap satu dan dua atau tidak bergejala, menjalani rawatan serta kuarantin di rumah, dengan pemantauan ketat oleh petugas kesihatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan, pasukan khas telah diwujudkan di peringkat Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis, CPRC, peringkat negeri dan daerah bagi memantau pesakit yang dirawat di rumah.
Bagaimanapun, pesakit yang bergejala akan dirawat di hospital serta menjalani proses pemantauan seperti biasa.
Jelas Datuk Seri Dr Adham, pesakit tahap satu dan dua itu akan diberikan tempoh selama 10 hari, untuk berada di rumah sebelum perlu menjalani ujian saringan pada hari terakhir.
Selain itu pihaknya akan menilai keluasan rumah serta bilangan isi rumah yang ada, sebelum membenarkan pesakit COVID-19 tahap satu dan dua terbabit menjalani rawatan di rumah masing-masing.
Beliau menyatakan demikian selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2021 KKM di Putrajaya.