Sunday, 17 January 2021

updated 1:18 PM UTC, Jan 17, 2021

Bidang teknikal punyai masa depan cerah- PM

  • Published in Nasional


KUALA LUMPUR, 5 Disember- 
Minat generasi muda perlu dipupuk untuk menceburi bidang teknikal terutamanya kejuruteraan.

Malah jelas Perdana Menteri, penggunaan teknologi terkini pula akan mengubah imej 3D iaitu (kotor, sukar dan bahaya) kepada imej berprestij.

Ini kerana profesion teknikal menuntut kesarjanaan ilmu dan kepakaran yang mendalam.

Jelas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berdasarkan trend masa depan ia menunjukkan bidang berkaitan teknologi akan mendapat permintaan tinggi.

Justeru, kerajaan akan berusaha memperkukuh kualiti lulusan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

"Di peringkat lebih awal, para pelajar sekolah dan belia perlu digalakkan untuk menjadikan bidang-bidang ini sebagai pilihan kerjaya masa depan mereka."

"Bukan sahaja demi memenuhi keperluan masa depan perindustrian negara, tetapi untuk melahirkan golongan profesion teknikal yang berdaya maju selari dengan perkembangan global terutamanya ledakan teknologi IR4.0."

"Peluang pekerjaan yang ditawarkan berkaitan jurusan STEM dan TVET sememangnya adalah amat cerah dan tidak seharusnya dilepaskan."

Beliau memaklumkannya dalam Perutusan Khas Sempena Hari Profesion Teknikal Negara-HPTN 2020 yang bertemakan 'Masa Depan Adalah Kita'.

HPTN disambut pada hari Sabtu pertama bulan Disember setiap tahun sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan tertinggi negara kepada warga profesion teknikal di Malaysia.