Saturday, 23 January 2021

updated 4:03 AM UTC, Jan 23, 2021

COVID-19 : Penginapan pekerja warga asing sempit dan sesak perlu ditangani segera

  • Published in Nasional

PUTRAJAYA, 29 November - Masalah penginapan pekerja warga asing yang sempit dan sesak perlu ditangani segera.

Jelas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ia bagi memastikan isu itu tidak menjadi punca penularan jangkitan COVID-19 dan lain-lain penyakit berjangkit.

Ia juga selaras Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Beliau melalui satu hantaran di Facebook rasminya menyeru agar pihak majikan bersama-sama memain peranan dalam menangani perkara berkenaan.

Jelasnya lagi, Kementerian Kesihatan (KKM) menyambut baik tindakan penguatkuasaan Akta 446 oleh Kementerian Sumber Manusia ke atas pihak majikan yang gagal mematuhi ketetapan akta tersebut.

Tambahnya, KKM sering menekankan beberapa faktor penyumbang kepada penularan penyakit berjangkit dalam kalangan pekerja termasuk isu tempat penginapan, kebersihan kendiri dan persekitaran tempat tinggal serta tempat kerja.

Dr Noor Hisham tengah hari tadi turut meninjau aktiviti lapangan bagi Kluster Tapak Bina Awan Baru.

Kluster yang melibatkan daerah Kepong dan Cheras itu diisytiharkan semalam susulan kes-kes positif COVID-19 yang dikesan melalui saringan bersasar ke atas pekerja-pekerja di sebuah tapak pembinaan di Bandar Baru Sentul.

Sehingga pukul 8:00 malam semalam, seramai 482 individu telah disaring dengan 410 kes dilaporkan positif.