Saturday, 23 January 2021

updated 4:03 AM UTC, Jan 23, 2021

Masyarakat perlu jadi mata dan telinga kekang jenayah rentas sempadan

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 29 November - Setiap anggota keselamatan yang terbabit dalam operasi kawalan sempadan diingatkan untuk terus berwaspada dan meningkatkan aspek kesiagaan operasi terutama di lokasi panas ataupun lorong tikus.

Tegas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang, kawalan ketat secara bersepadu melalui Operasi Benteng contohnya antara faktor penjenayah rentas sempadan merasa terhimpit lalu bertindak agresif.

Namun, ia bukan sebab untuk benteng negara mengundur ke belakang.

Tambahnya, aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk aktiviti penyeludupan bukan sahaja didalangi penduduk setempat malah segelintir warga negara jiran.

Tegas beliau, masyarakat harus tampil ke hadapan termasuk menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat kepada pasukan keselamatan.

Sementara itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, turut bersetuju orang awam memain peranan penting dalam mengekang jenayah rentas sempadan.

Sebarang maklumat aktiviti jenayah rentas sempadan boleh dilaporkan dengan menghubungi hotline Pusat National Task Force (NTF) 011-62511223.