Sunday, 17 January 2021

updated 10:41 AM UTC, Jan 17, 2021

Anggota PGA Maut: Tiada kompromi terhadap kumpulan penyeludup rentas sempadan

  • Published in Nasional

PUTRAJAYA, 24 November - Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak terutama kumpulan penyeludup rentas sempadan.

Siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti kumpulan penjenayah yang terlibat dalam serangan maut ke atas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

Demikian tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Dalam satu kenyataan, Datuk Seri Hamzah berkata, insiden terbabit mengakibatkan Korporal Baharuddin Ramli meninggal dunia selepas berbalas tembakan.

Manakala seorang lagi rakan setugas mangsa, Korporal Norihan Tari cedera parah dan sedang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Siasatan awal mendapati, dua anggota PGA berkenaan sedang melakukan tugasan risikan di kawasan terbabit sebelum diserang dua kumpulan penjenayah yang disyaki warga tempatan dan warga asing.

Penjenayah dipercayai sedang menjalankan aktiviti penyeludupan sempadan.

Datuk Seri Hamzah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa terlibat.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan seluruh warga Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga mendiang Koperal Baharuddin Ramli dari Batalion 3 (Senoi Praaq), Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terkorban ketika menjalankan tugas.

Kenyataan melalui laman Facebook PDRM yang dikongsi laman facebook Abdul Hamid itu menyatakan, pemergian Koperal Baharuddin merupakan satu kehilangan besar buat pasukan dan negara.