Sunday, 17 January 2021

updated 12:18 PM UTC, Jan 17, 2021

SPR rancang teliti kemungkinan PRU dalam tempoh pasca COVID-19

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 23 November - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang membuat perancangan teliti bagi menghadapi kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 dalam tempoh pasca-COVID-19.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan, antara yang disusun ialah langkah-langkah bagi memastikan perjalanan pilihan raya yang selamat, lancar dan sempurna.

Datuk Takiyuddin menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, SPR dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara telah merangka dan menyediakan satu garis panduan pencegahan COVID-19 bagi pelaksanaan pilihan raya sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil (PRK).

Antara langkah pencegahan COVID-19 yang dilaksanakan ialah pembersihan dan sanitasi di semua premis yang dikenal pasti akan digunakan pada pilihan raya; kawalan kehadiran di setiap premis yang digunakan pada jumlah paling minimum; dan penggunaan sarung tangan getah diwajibkan ke atas semua petugas pilihan raya dan pegawai SPR yang bertugas bagi setiap proses pilihan raya.

Manakala, penganjuran ceramah dan perhimpunan bagi tujuan kempen adalah tidak dibenarkan.