Saturday, 24 October 2020

updated 9:53 AM UTC, Oct 24, 2020

Rayuan, permohonan baharu BPN 2.0 buka peluang kepada golongan M40

  • Published in Nasional


KUALA LUMPUR, 16 Oktober- 
Mereka yang tidak memenuhi syarat untuk mendapatkan Bantuan Prihatin Nasional yang pertama boleh mengemukakan rayuan dan permohonan baharu untuk Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0).

Ini kerana BPN 2.0 ini membuka ruang lebih luas termasuk kepada golongan M40.

Ia seiring pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 23 September lalu mengenai BPN 2.0 dengan peruntukan sebanyak RM7 bilion.

Permohonan BPN 2.0 yang mula dibuka pada 15 Oktober hingga 15 November, memberi peluang kepada dua kategori permohonan iaitu B40 dan M40.

Bagi permohonan baharu, terdapat beberapa syarat kelayakan yang perlu dipenuhi.

Antaranya, bagi kategori isi rumah, pendapatan mestilah kurang daripada RM4,000 ke bawah dan RM2,000 pula bagi kategori bujang.

Sementara itu, kategori yang baharu diperkenal iaitu M40, pendapatan isi rumah mestilah di antara RM4,001 hingga RM8,000 manakala bagi bujang dan setara, pendapatan bulanan antara RM2,001 hingga RM4,000 sebulan.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian di Laman sesawang BPN 2.0 atau penghantaran borang secara manual ke cawangan atau pusat khidmat HASiL dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Pembayaran bagi permohonan baharu BPN2.0 akan dibuat secara sekaligus pada Januari 2021.