Saturday, 24 October 2020

updated 12:04 PM UTC, Oct 24, 2020

Kementerian Kerja Raya sasar 80% teknologi Model Maklumat Bangunan (BIM) di dalam industri pembinaan tempatan menjelang 2025

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 29 September - Kementerian Kerja Raya menyasarkan 80% penerapan teknologi Model Maklumat Bangunan (BIM) di dalam industri pembinaan tempatan menjelang tahun 2025.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelaksanaan projek menggunakan teknologi tersebut dilihat penting dan perlu terus diperkasa selari dengan perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0.

Teknologi BIM berfungsi menyediakan satu pangkalan data yang dapat membantu pemaju mengelakkan kos dan masa tambahan yang dihadapi sepanjang tempoh pembinaan dan selepas projek itu siap.

Sebagai permulaan, pihaknya menyasarkan untuk mencapai sehingga 50% penggunaan teknologi BIM dalam industri pada tahun hadapan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Pelan Strategik JKR 2021-2025 di ibu negara.

Pelan tersebut menggariskan lima hala tuju utama yang memfokuskan ke arah peningkatan kualiti, profesionalisme dan produktiviti JKR bagi menjadi peneraju pembangunan lestari dalam tempoh lima tahun akan datang.