Tuesday, 29 September 2020

updated 2:43 PM UTC, Sep 29, 2020

104 individu terkandas di KLIA telah ditempatkan di stesen kuarantin

  • Published in Nasional

PUTRAJAYA, 14 Ogos - Sekumpulan 104 individu yang pulang dari luar negara dan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam telah ditempatkan di stesen kuarantin.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penghantaran individu-individu terbabit ke stesen kuarantin tergendala seketika kerana menunggu persiapan hotel untuk menerima bilangan individu yang besar.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setelah diteliti daripada 13 penerbangan yang mendarat di KLIA, terdapat satu pesawat yang tiada dalam jadual asal yang diterima Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mendarat dan membawa 104 penumpang berkenaan.

Jelas beliau, pihak urusetia telah mengambil tindakan segera menghantar mereka yang dibahagikan kepada kumpulan kecil ke hotel-hotel sedia ada.

Kumpulan terakhir ditempatkan di Stesen Kuarantin pada pukul 10 malam.

Susulan itu, Datuk Seri Ismail Sabri memaklumkan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menambahbaik penyelarasan bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri yang bertindak sebagai sekretariat di peringkat negeri dalam aspek pengurusan Stesen Kuarantin.

Sementara itu 10,838 individu dilaporkan telah pulang ke tanah air dan ditempatkan di 60 hotel dan 5 Institut Latihan Awam (ILA) di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 44 individu disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian saringan di pintu masuk negara yang kemudiannya dihantar ke hospital berhampiran.

Sementara 2,992 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

Dalam pada itu, pihak polis telah mengadakan 520 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing.