Sunday, 27 September 2020

updated 2:45 PM UTC, Sep 27, 2020

PRK DUN Slim: Kad pengundi diedar bermula semalam

  • Published in Nasional

PUTRAJAYA, 11 Ogos - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menghantar kad pengundi kepada 23,094 pengundi bermula semalam, sebagai usaha menggalakkan pemilih berdaftar, menunaikan tanggungjawab mengundi menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK), DUN Slim.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak berkata kad berkenaan antara lain turut meletakkan cadangan waktu keluar mengundi, bertujuan mengelak jumlah kehadiran pengundi yang ramai pada satu-satu masa, seterusnya memastikan penjarakan fizikal ketika di pusat pengundian.

Individu yang telah menerima kad berkenaan, tidak lagi perlu menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih di barung SPR, kerana kedua-dua maklumat berkaitan ada dinyatakan dalam kad tersebut.

Bagaimanapun, pengundi masih perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti dan diingatkan membawa kad pengundi atau catatan maklumat daftar pemilih pada hari mengundi bagi memudahkan semakan.

Bagi mereka yang tidak menerima kad tersebut boleh membuat semakan maklumat pengundian melalui portal SPR pengundi.spr.gov.my atau Aplikasi MySPR Semak atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

25 Ogos ditetapkan bagi pengundian awal, manakala 29 Ogos sebagai hari mengundi.