Tuesday, 22 September 2020

updated 11:31 AM UTC, Sep 22, 2020

12 masjid di DUN Sanglang, kawasan sekitar diarah tutup

  • Published in Nasional

ARAU, 7 Ogos - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengarahkan kesemua 12 buah masjid dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang dan kawasan berdekatan ditutup mulai hari ini sehingga ke satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penutupan masjid itu dilakukan berikutan berulangnya penularan wabak COVID-19 di negeri berkenaan.

Dalam satu perutusan, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, solat Jumaat hari ini diganti dengan Solat Zohor di rumah masing-masing.

Baginda menyeru, individu yang berada dalam kawasan terlibat dilarang keluar dari kariah masing-masing untuk melakukan solat atau mengimarahkan masjid di kariah lain.

Tujuh masjid ditutup di DUN Sanglang, antaranya Masjid Ar-Rahman di Kampung Simpang Sanglang, Masjid Al-Maghfirah di Sungai Korok dan Masjid Darul Salam, Kampung Padang Keria.

Manakala tiga buah masjid dalam DUN Simpang Empat iaitu Masjid Putra, Masjid Al-‘Ilmi, Sungai Berembang dan Masjid Ameer Fawwaz, Kampung Sungai.

Sementara itu, dalam DUN Guar Sanji, dua buah masjid yang ditutup ialah Masjid Nurul Yaqin, Kampung Chantik Bangun dan Masjid Nurul Muttaqin, Kampung Che Ok.