Tuesday, 22 September 2020

updated 11:54 AM UTC, Sep 22, 2020

COVID-19: 25 kes baharu dilaporkan

  • Published in Nasional

 

PUTRAJAYA, 7 Ogos - Sebanyak 25 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan hari ini iaitu 12 daripada Kluster PUI Sivagangga, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif kepada 9,063 kes.

Manakala 15 kes sembuh turut dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 8,728.

Tiada kes kematian dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menyatakan, tambahan 12 kes baharu dari kluster itu menjadikan jumlah keseluruhan dikesan positif sebanyak 43 kes.

Setakat ini, 3,246 orang disaring dengan 2,320 negatif, manakala 883 masih menunggu keputusan.

Susulan kes positif yang diumumkan hari ini, 1,884 kontak rapat telah dikenal pasti dan bakal disampel di Perlis dan Pulau Pinang.

Pecahan kes positif kluster itu mengikut negeri adalah 31 kes di Kedah, 11 kes dari Perlis dan satu kes di Pulau Pinang.

10 kes baharu yang dilaporkan di Perlis hari ini dan satu kes pada 4 Ogos lalu terdiri daripada satu keluarga, menjadikan ke semua 11 kes daripada Perlis adalah daripada kluster sama.

Hasil siasatan mendapati bahawa salah seorang ahli keluarga tersebut adalah merupakan pelanggan tetap gerai menjual makanan punca kluster.

Kesemua kes itu tidak bergejala dan telah dimasukkan di Hospital Tuanku Fauziah, Perlis untuk rawatan.

Satu kes baharu dari Kedah pula adalah kontak rapat kepada kes dilaporkan pada 6 Ogos lalu.

Manakala satu kes baharu di Pulau Pinang dikenal pasti melalui saringan.

Individu tersebut pada 30 Julai lalu, telah pulang ke kampung halaman yang merupakan salah satu kawasan bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (TEMCO).