Friday, 7 August 2020

updated 12:31 AM UTC, Aug 7, 2020

Isu tulisan jawi tidak wajar difailkan di mahkamah

  • Published in Nasional

 

KUANTAN, 31 Julai - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah kesal dengan tindakan Adun Tras, Chow Yu Hui yang mahu kerajaan Pahang memberikan ketetapan di mahkamah bagi mewajibkan tulisan jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan di negeri itu.

Meskipun semua pihak diberi hak ke mahkamah, namun isu berkaitan tulisan jawi adalah tidak wajar difailkan di mahkamah.

Menurut Datuk Saifudin, DAP Pahang seharusnya faham tujuan kedudukan tulisan jawi dihidupkan kembali bagi memberi gambaran indentiti negara ini.

Dasar itu dikuatkuasakan sejak 1 Januari 2020 di Pahang, seperti dititahkan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau ditemui media pada Program Korban di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, di Indera Mahkota 15, Kuantan, Pahang.

Semalam Adun Tras dari DAP, Chow Yu Hui memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuantan untuk mencabar ketetapan kerajaan Pahang untuk mewajibkan tulisan jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan di negeri itu.

Permohonan itu dibuat bagi tujuan untuk pihak mahkamah menyemak semula arahan yang dikeluarkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Hakim Zainal Azman Abdul Aziz menetapkan 28 Ogos untuk membuat keputusan sama ada untuk membenarkan permohonan tersebut atau tidak.

Tahun lalu, kerajaan negeri memutuskan semua papan tanda di jalan raya dan premis perniagaan perlu menyertakan tulisan jawi dengan saiz yang sama dengan tulisan rumi.