Monday, November 20, 2017
vital-top
updated 5:24 AM UTC, Nov 20, 2017

3.6 Juta Rakyat Malaysia Hidap Diabetes

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan menganggarkan 3.6 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas kini menghidap diabetes.

Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata separuh daripada jumlah itu atau kira-kira 1.8 juta belum didiagnos dan tidak pernah menjalani saringan kesihatan, lalu tidak menyedari kehadiran penyakit itu.

Melalui saringan yang tetap dan berkala, penyakit diabetes boleh dikesan pada peringkat awal dan rawatan optimum boleh diberikan, katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Diabetes Sedunia 2017.

"Ini akan mengurangkan risiko komplikasi akibat diabetes dan membolehkan pesakit diabetes menjalani kehidupan yang normal," katanya.

Beliau berkata peningkatan tahap kesedaran orang ramai terhadap penyakit itu, risiko penyakit dan kepentingan saringan kesihatan diharap dapat mengubah tingkah laku rakyat Malaysia dalam usaha mencegah dan mengawal penyakit itu seterusnya mengurangkan risiko kematian pra matang akibat komplikasi diabetes.

(Sumber - Bernama)