Monday, November 20, 2017
vital-top
updated 5:24 AM UTC, Nov 20, 2017

Sultan Nazrin Terima Zakat Perniagaan RM2.8 Juta

KUALA LUMPUR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2015 hingga 2017 daripada tujuh syarikat berjumlah RM2.8 juta di Istana Perak, Changkat Persekutuan, hari ini.

Turut hadir Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin, Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin, Ahli Majlis MAIPk Datuk Abd Malek Awang Kechil dan Setiausaha Majlis MAIPk Datuk Amiruddin Muhamed.

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menjadi pembayar zakat perniagaan terbesar dengan jumlah RM1.15 juta bagi tahun kewangan 2015 diikuti KAF Investment Bank Berhad (RM733,000) bagi tahun kewangan 2016 dan QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd (RM401,790) bagi tahun kewangan 2016 dan 2017.

Gas Malaysia Berhad pula menyerahkan zakat berjumlah RM193,000 bagi tahun kewangan 2017.

Perak Integrated Network Services Sdn Bhd (RM130, 421) bagi tahun kewangan 2016, Rakyat Holdings Sdn Bhd (RM100,000) bagi tahun kewangan 2015 dan Koperasi Co-Opbank Persatuan Malaysia Berhad (RM83,811) bagi tahun kewangan 2016.

Sultan Nazrin kemudian berkenan menyerahkan kesemua cek pembayaran zakat berkenaan kepada Wan Mohd Zahid.

 

Sumber : BERNAMA