Sunday, January 19, 2020
updated 2:44 AM UTC, Jan 19, 2020

SPRM buat laporan polis berhubung komplot jahat cuba cemar reputasi Ketua Pesuruhjaya SPRM

  • Published in Nasional

SELANGOR - Satu laporan polis dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siang tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah, IPD Putrajaya susulan dakwaan Ketua Pesuruhjaya, Latheefa Koya mengenai wujudnya komplot jenayah untuk menjejaskan reputasi peribadinya.

Ia selepas beliau mendedahkan sembilan rakaman perbualan berdurasi 45 minit dipercayai melibatkan beberapa individu berprofil tinggi termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengulas mengenainya, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, beliau akan meneliti laporan itu sebelum mengeluarkan sebarang komen.

Pegawai Khas Undang-Undang SPRM, Sasha Lyna Abdul Latif yang membuat laporan polis itu berkata pihaknya sudah menyerahkan nama dan identiti beberapa individu termasuk peguam yang menyebarkan fitnah.

Menurut beliau, komplot itu menyebar tohmahan melalui media sosial dengan niat mencemar integriti serta maruah SPRM.

Semalam, Latheefa dalam satu kenyataan menegaskan, beliau tidak tergugat dalam melaksanakan tugasnya meski berdepan cabaran seperti serangan peribadi dan ugutan.