Sunday, January 19, 2020
updated 2:44 AM UTC, Jan 19, 2020

Op Selamat Tahun Baharu Cina bermula 18 Januari hingga 2 Februari depan

  • Published in Nasional

SUBANG - Op Selamat ke-16 sempena Tahun Baharu Cina yang bakal dilaksana pihak berkuasa bermula 18 Januari hingga 2 Februari depan, bakal memberi tumpuan kepada kumpulan 'mat rempit'.

Beberapa 'lokasi panas' telah dikenalpasti Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, sepanjang pelaksanaan tempoh operasi.

Bercakap di Subang, Selangor dalam sidang media selepas melancarkan Ops Selamat ke-16, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor menegaskan, pihak berkuasa akan bertindak tegas terhadap mereka yang didapati melanggar peraturan dan undang-undang jalan raya.

Bermula 18 Januari hingga 22 Januari ini juga, pemberian diskaun 50 peratus diberikan kepada mereka yang membuat bayaran saman trafik PDRM secara dalam talian melalui myeg dan rilex.com.

Bagaimanapun, diskaun berkenaan tidak tertakluk terhadap enam kesalahan utama jalan raya.

Sementara itu, Pengerusi PLUS Malaysia Berhad, Datuk Mohd Nasir Latiff memberitahu pihaknya menjangkakan dua juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya PLUS sepanjang cuti Tahun Baharu Cina dengan peningkatan 18 peratus berbanding 1.7 juta pada hari biasa.