Friday, 14 August 2020

updated 2:26 PM UTC, Aug 14, 2020

Kempen Hari Jumaat Hari Jawi perkasa tradisi, kebudayaan Malaysia

  • Published in Nasional

PUTRAJAYA, 10 Julai - Bermula hari ini, Jumaat diumumkan sebagai ‘Hari Jawi’ dalam usaha mengekal serta memperkasa sebahagian tradisi dan kebudayaan yang membentuk Malaysia sehingga hari ini.

Dalam kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menyatakan usul itu telah dibawa dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lepas dan mendapat sokongan penuh semua ahli jemaah menteri.

Kerajaan serius memartabatkan tulisan Jawi.

Beliau menjelaskan, seluruh kementerian, jabatan, agensi di peringkat persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat Malaysia, disaran bersama-sama dalam usaha memelihara warisan negara ini.

Bagi menzahirkan iltizam memartabatkan tulisan Jawi, kepala surat rasmi Menteri di Jabatan Perdana Menteri menggunakan tulisan Jawi bagi urusan rasmi mulai hari ini.

Penggunaan tulisan Jawi juga akan turut diperluas meliputi penyampaian maklumat menerusi platform media sosial rasmi agensi di bawahnya.

Tulisan Jawi katanya diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Akta itu menyatakan tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi, dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan.