Monday, November 20, 2017
vital-top
updated 5:32 AM UTC, Nov 20, 2017

Bajet 2018: Tambah Baik Mekanisme Penyampaian BR1M - MPN

PUTRAJAYA  - Majlis Profesor Negara (MPN) mencadangkan mekanisme penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang banyak membantu meringankan masalah kewangan individu dan isi rumah sejak diperkenalkan pada 2012, ditambah baik melalui pembentangan Bajet 2018 bagi memastikan kelestariannya lebih menyeluruh.

Setiausaha Kluster Ekonomi dan Pengurusan MPN Prof Dr Asan Ali Golam Hassan berkata satu rangka kerja untuk mengenal pasti pemberian BR1M lebih produktif seperti dalam bentuk bayaran tunai, bayaran tunai bersyarat, baucer makanan atau campuran beberapa skim perlu dipertimbangkan untuk menjadikan insentif itu lebih holistik berbanding bayaran secara tunai yang diaplikasikan ketika ini.

"Selain meneruskan agenda membantu golongan berpendapatan rendah dan mereka yang terjejas berikutan peningkatan kos sara hidup, pemberian BR1M perlu dipastikan berupaya membawa kepada peningkatan produktiviti dan kapasiti produktif masa depan dalam ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai isu-isu ekonomi yang perlu diberi perhatian dalam Bajet 2018.

Penambahbaikan mekanisme penyampaian BR1M adalah antara 20 cadangan dikemukakan MPN kepada kerajaan sebagai anggota jawatankuasa fokus kumpulan Kementerian Kewangan bagi membincangkan mengenai pengisian Bajet 2018 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan di Parlimen pada 27 Okt.

Antara cadangan lain ialah berkaitan percukaian, pendidikan dan pembangunan Indeks Kos Sara Hidup.

(Sumber - Bernama)