Monday, November 20, 2017
vital-top
updated 5:32 AM UTC, Nov 20, 2017

Bajet2018 : Cuepacs Tuntut Bonus, Kad Diskaun Pengangkutan, Elaun Bandar Raya

KUALA LUMPUR  - Bonus satu setengah bulan gaji, elaun bandar raya dan kad diskaun pengangkutan awam merupakan antara tuntutan Cuepacs untuk Bajet 2018 yang bakal dibentangkan 27 Okt ini.

Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata selain bonus, cadangan dua inisiatif baharu itu penting untuk dipertimbangkan selaras dengan kenaikan pelbagai kos yang dihadapi penjawat awam yang tinggal di bandar raya.

"Tentang bonus, kami tidak mahu lagi bantuan kewangan RM500, telah sampai masanya kerajaan bayar bonus satu setengah bulan gaji kepada penjawat awam.

"Bagi pemberian rebat penggunaan pengangkutan awam, Cuepacs mencadangkan kad diskaun kepada penjawat awam dan pesara kerajaan apabila menggunakan pengangkutan awam mulai Januari 2018," katanya kepada pemberita pada sidang media khas.

Azih berkata bagi pengenalan elaun bandar raya terutama kepada penjawat awam yang tinggal di kawasan berstatus bandar raya, Cuepacs mencadangkan bayaran RM300 sebulan bagi golongan ini menghadapi kos hidup di bandar raya.

Selain itu Cuepacs juga meminta kerajaan mengkaji semula Elaun Tetap Khidmat Awam untuk gred terendah sebanyak RM95 sekarang kepada kadar minimum RM180 sebulan.

"Untuk gred lebih tinggi pula boleh diselaraskan mengikut kelayakan. Sejak diperkenalkan 15 tahun lalu elaun ini tidak pernah disemak walaupun penjawat awam terpaksa berhadapan dengan beban sara hidup yang semakin meningkat," katanya.

Cuepacs turut meminta pertimbangan kerajaan menganugerahkan dua kenaikan gaji tahunan kepada semua penjawat awam.

(Sumber - Bernama)