Tuesday, October 17, 2017
vital-top
updated 7:20 AM UTC, Oct 17, 2017

Johor Cadang Wajibkan Murid Tahun Satu Buka Akaun SSPN/SSPN-i

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Negeri Johor bercadang mewajibkan ibu bapa atau penjaga murid yang akan memasuki Tahun Satu pada tahun depan untuk membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN/SSPN-i).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pendidikan bagi menjayakan cadangan itu.

"Menerusi Bajet 2017, kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM25 juta bagi memberi insentif khas RM50 kepada setiap murid tahun satu dalam bentuk akaun SSPN/SSPN-i di mana ibu bapa perlu membuka akaun atau membuat simpanan sekurang-kurangnya RM50 dalam akaun bagi melayakkan anak mereka menerima insentif itu.

"Tahun depan, kerajaan Johor hendak wajibkan ibu bapa atau penjaga murid yang memasuki Tahun Satu untuk membuka akaun bagi memanfaatkan murid dan merebut peluang kerana insentif ini hanya layak kepada mereka yang mempunyai akaun SSPN/SSPN-i," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran SSPN-i Plus peringkat negeri Johor di tapak Ekspo Johor Berkemajuan, Kota Iskandar.

 

Sumber : BERNAMA