Tuesday, July 7, 2020

updated 2:54 PM UTC, Jul 7, 2020

KKM zahir terima kasih atas perkenan Sultan Johor biaya kos baik pulih HSA

  • Published in Nasional

PEKAN, 29 Jun - Kementerian Kesihatan (KKM) merafak sembah di atas perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar untuk membiayai kos membaik pulih Wad Perubatan Perempuan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru yang terbakar, semalam.

Dalam kenyataan di laman Facebook rasmi Sultan Johor, baginda turut menzahirkan akan melantik kontraktor bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dapat dijalankan segera dengan kos pembaikan ditanggung sepenuhnya Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pihak kementerian menzahirkan ucapan terima kasih di atas keprihatinan baginda dan dijangka proses pembaikan hospital berkenaan dapat disegerakan hasil inisiatif Baginda.

Beliau menyatakannya selepas lawatan kerja ke Klinik Desa Chini 2, Pekan.

Kebakaran yang berlaku di Wad Perubatan Perempuan 1 HSA, petang semalam tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Adham turut memaklumkan kementeriannya akan membuat penelitian serta pemeriksaan terhadap sistem pendawaian elektrik di semua hospital bawah kelolaannya di seluruh negara bagi memastikan insiden sama tidak berulang.