Thursday, October 19, 2017
vital-top
updated 3:46 PM UTC, Oct 19, 2017

Kerajaan Perlu Pinda Perlembagaan Bagi Perkukuh Hak Orang Kurang Upaya

KUALA LUMPUR  - Kerajaan perlu mempertimbang untuk meminda Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan (mengenai kesaksamaan dan kesamarataan di sisi undang-undang) untuk menyebut secara khusus mengenai orang kurang upaya dan larangan diskriminasi ke atas mereka.

Presiden Rumah Amal Cheshire Sarawak, Datuk Seri Ang Lai Soon berkata sudah tiba masanya Parlimen membuat peruntukan dengan segera bagi menguatkuasakan hak orang kurang upaya untuk mendapat pekerjaan, pendidikan dan akses kepada bangunan dan kemudahan awam.

Ang yang juga aktivis sosial terkemuka berkata kerajaan perlu menyediakan remedi atau penalti kerana melanggar peruntukan Akta Orang Kurang Upaya 2008.

"Memandangkan negara terus mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang, dan mungkin tidak lama lagi ia akan menikmati status negara maju, oleh itu, sudah tiba masanya kerajaan menubuhkan Tribunal Hak Asasi Kurang Upaya Nasional.

Tribunal ini akan menyiasat sebarang pelanggaran akta dan mengenakan atau mengesyorkan penalti atau penyelesaian bagi ketidakpatuhan yang nampaknya berlaku setiap hari,"katanya semasa berucap pada mesyuarat agung tahunan Rumah berkenaan di Kuching, Sarawak.

(Sumber - Bernama)