Wednesday, October 18, 2017
vital-top
updated 3:22 AM UTC, Oct 18, 2017

Lima Lagi Pusat Transformasi Bandar Akan Diwujudkan

KUCHING - Lima lagi Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan diwujudkan di seluruh negara, iaitu masing-masing di Perlis, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor dan Bintulu, Sarawak.

Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Othman Aziz berkata UTC Perlis dan Negeri Sembilan dijangka beroperasi menjelang akhir tahun ini, manakala di Selangor, Pulau Pinang dan Sarawak akan dilaksanakan tahun depan.

Ketika ini terdapat 18 UTC di seluruh negara dan rancangan penambahan lima buah lagi berikutan sambutan yang sangat memberangsangkan daripada orang ramai yang datang untuk berurusan dengan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

Katanya, sejak penubuhannya pada tahun 2013 sehingga Ogos tahun ini lebh 52.1 juta pelanggan berurusan dengan jabatan dan agensi kerajaan di kesemua UTC di seluruh negara.

"Ini membuktikan pendekatan baru yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) berjaya menarik ramai pengunjung serta memudahkan rakyat menggunakan pelbagai kemudahan yang disediakan di semua UTC di seluruh negara," katanya kepada Bernama dan RTM semasa beliau melakukan lawatan dan kunjungan ke UTC Sarawak.

Menurut Othman, negeri Perak mencatat bilangan pengunjung yang paling ramai sekali, iaitu 9.94 juta orang sepanjang tempoh 2013 hingga Ogos 2017, diikuti UTC Kuala Lumpur (5.97 juta), UTC Pahang (5.82 juta), UTC Kedah (5.46 juta), UTC Melaka (5.28 juta), UTC Johor (4.05 juta), UTC Sabah (3.15 juta) dan Sarawak (3.02 juta).

Di Sarawak, selain UTC yang terletak di bandar raya Kuching, dua lagi pusat seumpamanya terletak di bandar Sibu dan Miri.

(Sumber - Bernama)